PRU15: Fathin tidak hirau kemelut di Arau, terus dekati pengundi

PRU15: Fathin tidak hirau kemelut di Arau, terus dekati pengundi

FATHIN AMELINA FAZLIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Di sebalik kemelut melanda Barisan Nasional (BN) di Parlimen Arau, calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi itu, Fathin Amelina Fazlie enggan selesa sebaliknya terus berusaha gigih mendekati pengundi di kawasan berkenaan.

Katanya, dia tidak menghiraukan kemelut yang berlaku itu sebaliknya terus bekerja kuat bagi memastikan kemenangan PH di kerusi berkenaan.

Katanya, persiapan PH di kawasan Arau sedikit mencabar namun pihaknya telah berusaha bagi memperkukuhkan jentera dengan menarik lebih ramai penyokong parti itu di sana.

“Semua persiapan telah dilakukan dan kita bersiap sedia untuk berdepan dengan mana-mana lawan di Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya di sini hari ini.

Parlimen Arau panas dan menjadi perhatian selepas pengumuman calon BN kelmarin menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim digugurkan sebagai calon dengan Datuk Rozabil Abd. Rahman dipilih menggantikan beliau di kerusi berkenaan.

Selain BN, beberapa gabungan lain seperti Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) turut akan bertanding di kerusi Parlimen itu namun calon mereka masih belum didedahkan.

Dalam pada itu, Fathin berkata, pihaknya juga telah memulakan kempen menerusi laman sosial bagi menarik sokongan pengundi muda.

“Pada masa sama, kami juga akan aktif melakukan kempen dari rumah ke rumah selepas hari penamaan calon nanti,” katanya.

PH mempertaruhkan Fathin yang merupakan calon muda berusia 28 tahun dan juga penuntut Doktor Falsafah Kedoktoran (PhD) di Universiti Malaya untuk bertanding di kerusi panas itu.

Dari segi latar pendidikan, Fathin yang juga Pengarah Komunikasi PKR Cabang Padang Besar mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perancangan dan Pembangunan dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain itu juga, beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya dan sedang berada dalam pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Sosial Sains) di universiti yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya