PRU15: Empat beradik teruja kali pertama mengundi - Utusan Malaysia

PRU15: Empat beradik teruja kali pertama mengundi

NURUL Aishah Hasmarah (kiri) bersama tiga kakaknya, Nurul Atikah, Nurul Ain Hazwani (dua kanan) dan Nurul Aida Syakirah (kanan) selesai mengundi di SMK Putatan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mengundi buat kali pertama bersama adik-beradik lain mengurangkan rasa gementar Nurul Aishah Hasmarah,18, yang datang seawal 7 pagi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan.

Nurul Aishah bersama tiga lagi kakaknya antara kumpulan pengundi terawal yang datang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.

“Kami empat beradik mengundi buat kali pertama pada pilihan raya kali ini. Memang teruja, itu sebabnya saya bangun seawal 5 pagi tadi.

“Kami sekeluarga tinggal di Sepanggar jadi, kami bergerak lebih awal untuk elak kesesakan jalan raya. Kami sampai di sini pada pukul 7 pagi tadi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sebagai pengundi muda, Nurul Aishah berharap siapa pun kerajaan yang dipilih kali ini, ia akan membawa kestabilan kepada politik negara.

“Harapan saya siapa-siapa yang menang dapat membawa negara ini ke arah yang lebih baik dan bebas daripada amalan rasuah,” katanya.

Turut teruja mengundi buat kali pertama ialah kakaknya yang merupakan pelajar Asian Tourism College (ATI), Nurul Aida Syakirah Hasmarah, 20.

Beliau berkata, sebagai pengundi muda yang didaftarkan secara automatik, beliau tidak akan mensia-siakan peluang yang ada untuk memilih wakil rakyat yang boleh memimpin negara.

Tempoh lima tahun itu cukup lama jadi, beliau mengharapkan kerajaan yang dipilih itu boleh membawa kemakmuran dan pembangunan di Sabah.

“Biarlah kerajaan baharu yang dibentuk itu betul-betul mengambil kira permasalahan dan suara rakyat Sabah yang selama ini sering dipinggirkan,” katanya.

Sementara itu, Nurul Ain Hazwani Hasmarah, 26, berkata, beliau mengundi kali pertama pada usia yang agak lewat kerana banyak kekangan yang dihadapi sebelum ini.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, saya sepatutnya mengundi tapi disebabkan positif Covid-19, saya terlepas peluang untuk mengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya