PRU15: Dua beradik teruja kali pertama mengundi - Utusan Malaysia

PRU15: Dua beradik teruja kali pertama mengundi

NURUL Nabila Rosli (kiri) dan Mohamad Haikal teruja kali pertama mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong di Bera, Pahang. - UTUSAN/AZIZAH SHAFIEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Dua beradik, Nurul Nabila Rosli, 25, dan Mohamad Haikal, 21, teruja pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Mereka yang masing-masing mengenakan baju berwarna hitam tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong di sini pukul 8.15 pagi.

Menurut Nurul Nabila, dia yang bekerja di Shah Alam, Selangor menggunakan peluang pelepasan cuti am untuk pulang ke kampung halaman pada Jumaat lalu.

“Saya teruja untuk mengundi buat pertama kali, dan ini adalah tanggungjawab dan hak saya sebagai rakyat Malaysia.

“Saya harap, kerajaan baharu nanti dapat menyediakan pelbagai manfaat kepada rakyat. Sudah tentu saya mahukan kerajaan stabil yang mampu meningkatkan ekonomi negara, serta mampu mentadbir negara dengan baik,” katanya ketika ditemui di SMK Bandar Kerayong di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Haikal memberitahu, suasana di pusat mengundi bukan sahaja membuatkannya teruja, malah berasa sedikit berdebar kerana ini merupakan pengalaman pertama baginya.

“Saya tidak sabar untuk mengundi sebab ini pengalaman baharu bagi saya, malah saya teruja lebih-lebih lagi saya dapat mengundi tempat yang sama dengan kakak,” jelasnya.

Sementara itu, Robiah Zakaria, 61, yang menjadi orang kedua mengundi  apabila pusat mengundi di sekolah tersebut dibuka bermula pukul 8 pagi berkata, dia hadir awal kerana mahu mengundi cepat kerana perlu menoreh getah pula selepas itu.

“Lepas ni, saya akan terus ke kebun untuk menoreh. Kalau tak menoreh, saya tiada gaji. Saya orang susah sebab tu saya kena beratur awal.

“Saya menoreh 100 pokok setiap hari. Boleh lah dapat RM70 sehari. Saya harap, mana-mana parti yang membentuk kerajaan dapat terus membela penoreh macam saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya