KOTA BHARU: Dua beradik kembar mengakui ‘gementar’ menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi kali pertama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Ang Darren dan Ang Elysha, 18, tiba bersama bapa mereka, Datuk Dr. Ang John Sun di Maktab Sultan Ismail (SIC) seawal pukul 8 pagi untuk mengundi.
Darren berkata, dia bangun awal hari ini bagi memastikan semua keperluan terutama MyKad berada dalam keadaan baik.
“Saya risau jika berlaku sebarang kesilapan menyebabkan kami tidak boleh mengundi buat kali pertama,” katanya ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Elysha mengakui sedikit teruja dan takut untuk menjalankan tanggungjawab mengundi buat kali pertama.
“Maklumlah kali pertama jadi saya tidak tahu sangat proses yang perlu dilalui. Saya pilih calon yang saya rasa penting untuk memajukan negara dan undi itu rahsia,” jelasnya. – UTUSAN