SEGAMAT: Hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ibarat hari keramaian bagi rakyat Malaysia termasuk yang bekerja di Singapura pulang ke tanah air untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Bagi Mohd. Syahzman Suhaimi, 31, yang bekerja di Singapura melapangkan masa pulang ke kampung halaman di Segamat bagi menunaikan tanggungjawab kepada negara.
“Sepatutnya saya tidak dapat balik kampung hari ini disebabkan oleh tiket bas sudah habis terjual di Terminal Bas Larkin.
“Nasib baik ada adik saya yang meminjamkan keretanya lebih awal kerana kereta saya berada di kampung isteri.
“Saya sangat teruja untuk balik dan sanggup berusaha untuk memastikan saya dapat balik ke Segamat untuk mengundi hari ini,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sepinang, hari ini.
Syahzman bertolak dari Singapura ke Johor Bahru kira-kira pukul 7 pagi dan tiba di Segamat pada pukul 1 petang.
Dia yang bekerja di sebuah hospital swasta di Yishun, Singapura mengakui suasana PRU15 amat berbeza.
“Apabila tiba di Segamat, saya jadi lebih bersemangat melihat banyak bendera pelbagai parti berkibar di sepanjang jalan. Walaupun hari hujan dan mendung sejak pagi, saya dapat lihat ramai rakyat Malaysia keluar mengundi.
“Malaysia tetap nombor satu dalam hati saya walaupun Singapura menjadi tempat saya mencari rezeki. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri,” katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik itu ditemani dua adiknya yang turut mengundi di pusat mengundi yang sama. – UTUSAN