GEORGE TOWN: Parti DAP Pulau Pinang mengambil inisiatif bagi meringankan beban pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri itu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menerusi kempen Jom Balik Undi Selamatkan Malaysia PRU15 itu, DAP Pulau Pinang akan menanggung kos tiket pengangkutan dua hala sama ada menggunakan bas atau keretapi bagi pelajar berkenaan untuk pulang mengundi.
Menurut Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying, pihaknya mengambil inisiatif itu selepas menerima keluhan berkenaan kesukaran pelajar kurang berkemampuan untuk pulang ke kampung masing-masing bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November ini.
“Kita memahami pelajar-pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan dan perlu bergantung kepada keluarga.
“Oleh itu, kita ingin membantu pelajar-pelajar berkenaan terutamanya daripada keluarga golongan B40 untuk pulang melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia pada PRU15,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Tanjong berkata, permohonan subsidi itu boleh dibuat pelajar berkenaan menerusi laman web bit.ly/jomundipulaupinang bermula hari ini (7 November) sehingga 18 November ini.
“Tempoh tarikh tiket perjalanan mestilah dari 16 November hingga 21 November 2022 yang mana tiket keluar Pulau Pinang adalah sebelum 19 November manakala tiket balik ke Pulau Pinang adalah selepas 19 November,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Hui Ying, kadar subsidi yang diberikan adalah penuh mengikut harga resit pembelian tiket sama ada bas atau keretapi sahaja.
Jelasnya, subsidi itu adalah terhad dan mengikut siapa yang memohon terlebih dahulu, namun pihaknya akan cuba memastikan setiap pelajar layak yang memohon dapat menerima subsidi berkenaan.
Tambah beliau, bagi permohonan yang berjaya akan menerima WhatsApp daripada pihak urus setia dalam tempoh 24 jam permohonan dibuat untuk menuntut tambang tersebut dan maklumat lanjut mengenainya boleh menghubungi Miss Lee di talian 013-7059289.
Dalam pada itu Hui Ying menegaskan, inisiatif tersebut bukan satu tindakan ‘membeli undi’ oleh DAP kerana pihaknya tidak memaksa atau menentukan parti mana yang harus dipilih oleh pelajar yang menuntut pemberian subsidi itu pada 19 November ini. – UTUSAN