PRU15: 'Cikgu Thanen' tidak akan sisih komuniti nelayan Nibong Tebal - Utusan Malaysia

PRU15: ‘Cikgu Thanen’ tidak akan sisih komuniti nelayan Nibong Tebal

CALON BN kerusi Parlimen Nibong Tebal, RS Thanenthiran sewaktu bertemu penduduk ketika berkempen di sekitar Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Nasib golongan nelayan di kawasan Parlimen Nibong Tebal tidak akan sesekali disisihkan malah kebajikan kumpulan itu termasuk di dalam manifesto calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Datuk Seri RS Thanenthiran untuk dibela jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Thanenthiran, 59 atau lebih mesra disapa sebagai ‘Cikgu Thanen’ berkata, beliau cakna dengan masalah yang dihadapi golongan itu dan bertekad menyalurkan bantuan demi pembangunan nelayan di kawasan tersebut secara keseluruhannya.

“Kemenangan BN di kerusi Nibong Tebal akan menyaksikan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM1,000 akan disalurkan kepada nelayan berlesen di perkampungan Sungai Udang dan Sungai Chenaam selain pemberian pukat baharu.

“Ini bukan janji kosong. Sekiranya rakyat beri mandat kepada saya, saya akan laksanakan ‘one off’ menggunakan gaji pertama, bukannya daripada elaun mahupun peruntukan,” katanya.

Thanenthiran menambah, beliau juga akan memberi perhatian terhadap pembangunan dan kebajikan belia setempat antaranya membina kompleks sukan serta pemberian insentif kepada golongan belia berkemahiran untuk menjadi usahawan dan mengusahakan bengkel motosikal.

“Inisiatif ini dapat menarik minat anak muda yang mempunyai kemahiran dalam membaik pulih motosikal kerana kita tidak mahu kemahiran itu disia-siakan.

“Di samping itu, BN juga akan membina sebuah kompleks sukan di Nibong Tebal yang mempunyai kemudahan asas seperti gelanggang futsal dan sepak takraw yang turut dilengkapi kemudahan internet.

“Ini akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun sekiranya saya menjadi ahli Parlimen,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua golongan berkenaan menyambut baik manifestonya itu sekali gus optimis mampu merampas kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU15.

Thanenthiran akan merebut kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU15 dalam persaingan empat penjuru dengan tiga lagi calon iaitu penyandang daripada Perikatan Nasional (PN) Datuk Mansor Othman; Fadhlina Sidek (PH) dan Goh Kheng Huat (Bebas).

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket (PH-PKR) dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) dan Tan Tee Beng (Bebas) masing-masing mendapat 6,875 dan 331 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya