TUMPAT: Penyandang kerusi Parlimen Tumpat daripada Pas, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan ditentang empat lagi calon dalam misi mempertahan kerusi tersebut.
Pada PRU15 19 November ini, Che Abdullah bakal ditentang calon Pas, Datuk Mumtaz Md. Nawi; Che Muhammad Aseri Che Ali (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – Putra), Wan Johari Wan Omar (Pakatan Harapan) dan Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan).
Ini merupakan salah satu sejarah baharu yang dirakam di Parlimen Tumpat apabila seramai lima calon yang menawarkan diri untuk bertanding di kawasan berkenaan.
Kesemua senarai nama calon itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya, Rusydee Abdullah pada pukul 11 pagi selepas meneliti dan menerima pencalonan daripada mereka yang bertanding.
Utusan Online semalam melaporkan, Che Abdullah Mat Nawi berkata, beliau bertanding menggunakan tiket BN pada PRU15 bertujuan menebus semula maruahnya selepas difitnah dengan teruk semasa pemilihan parti sebelum ini.
Che Abdullah memberitahu, beliau tidak mempunyai masalah jika tidak dicalonkan oleh Pas namun fitnah secara berleluasa ke atas dirinya tanpa ‘kawalan’ daripada parti membuatkannya mengambil keputusan bertanding menggunakan tiket dacing.
Pada PRU14, Che Abdullah menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 17,500 undi.
Che Abdullah mendapat undi sebanyak 47,041 manakala Datuk Wan Johani Wan Hussin (BN) memperoleh 29,541 undi dan Datuk Nordin Salleh (PKR) hitang deposit selepas meraih 10,003 undi. – UTUSAN