GEORGE TOWN: Calon paling tua di Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ravinder Singh daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) memberi jaminan kesihatannya berada pada tahap terbaik untuk bertanding seterusnya dipilih rakyat walaupun telah menjangkau usia 80 tahun.
Ravinder yang bertanding di kerusi Parlimen Bayan Baru berkata, meskipun pada usia 80 tahun beliau masih lagi boleh mendaki bukit di sekitar Pantai Esen, Permatang Damar Laut dekat sini dan sentiasa melakukan senaman seperti ‘jogging’ setiap hari selama 30 minit untuk mengekalkan stamina.
”Saya tidak ada penyakit-penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi, cuma 25 tahun dulu saya pernah menjalani prosedur `stent’ untuk jantung dan selepas itu kesihatan saya tidak ada masalah langsung.
“Pengundi tidak perlu bimbang dengan soal kesihatan saya kerana saya sihat menerusi amalan pemakanan yang seimbang serta masih mampu menjalankan tugas sekiranya dipilih kelak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PRM Pulau Pinang di Pulau Tikus, di sini hari ini.
Beliau bakal berdepan saingan enam penjuru di kerusi itu menentang calon Pakatan Harapan (PH) Sim Tze Tzin yang juga penyandang, Saw Yee Fung (BN); Oh Tong Keong (PN); Jeff Ooi (Warisan) dan Kan Chee Yuen (Bebas).
Ravinder yang merupakan pesara guru berkata, beliau memilih bertanding buat pertama kali pada PRU15 kerana mahu memastikan Kerajaan Pusat yang dibentuk kelak mempunyai konsep semak dan imbang yang baik.
”Sebagai calon parti yang kecil dan tidak bertanding di banyak kerusi, kita tahu kita tidak dapat membentuk Kerajaan Pusat.
”Tetapi sekiranya rakyat memberi mandat kepada calon PRM, kami pasti akan menjadi suara rakyat dengan memastikan konsep semak dan imbang berjalan sepenuhnya dalam sistem demokrasi di negara ini,” katanya.
Selain itu Ravinder berkata, beliau dan calon-calon PRM lain juga menentang keras amalan rasuah yang berleluasa dan mahu menghapuskan gejala itu bermula daripada kepimpinan tertinggi negara sehingga ke peringkat bawahan.
”Rasuah umpama kanser yang merebak, sekarang pun kita berada pada tahap yang teruk, jika tidak dibendung gejala rasuah akan lebih memburuk.
”Negara kita mempunyai sumber yang banyak, ada balak, minyak dan sebagainya, namun ke mana hasil semua ini pergi sehingga rakyat semakin sukar kehidupan mereka,” katanya.
Dalam pada itu tambahnya, beliau juga mendapat maklum balas yang positif daripada masyarakat yang mengetahui mengenai kewujudan PRM yang menggunakan logo parti `tanduk lembu’ tersebut. – UTUSAN
CALON PRM kerusi Parlimen Bayan Baru, Ravinder Singh tetap aktif dan bertenaga ketika berkempen pada PRU15 di sekitar kawasan itu meskipun pada usia 80 tahun.