TASEK GELUGOR: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor menempelak sesetengah calon yang gemar menabur janji-janji baharu sepanjang berkempen, namun tidak berniat mengotakannya setelah diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Muhamad Yusoff, 59, atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Chop’ berkata, beliau sebaliknya akan terus memperkasakan pembangunan sedia ada di Parlimen tersebut dari aspek pembangunan ekonomi, sosial dan pertanian untuk dimanfaatkan oleh masyarakat di Tasek Gelugor.
“Jangan terlampau yakin (tabur janji) sebab Tasek Gelugor ini adalah kawasan lebih kepada kampung dari segi pembangunan.
“(Tasek Gelugor) tidak terlampau pesat. Ia lebih kepada pembangunan yang membolehkan masyarakat Tasek Gelugor ambil bahagian.
“Kalau nak janji hapus hutang seperti sebelum ini, itu benda yang kita tak leh janji dengan orang kampung. Nak berjanji dengan orang kampung kena pastikan kita boleh buat benda tu,” katanya ketika ditemui pada sesi ‘walkabout’ di Kampung Tok Hamid, di sini semalam.
Beliau menambah, antara pembangunan yang perlu diperkasakan di Tasek Gelugor termasuk meningkatkan unit rumah mampu milik, memperkasa pembangunan ekonomi wanita setempat serta meningkatkan kawasan pertanian dia Ara Kuda, di sini.
“Saya janji dengan orang kampung dengan benda yang kita boleh buat, kita nak buat kompleks sukan, padang sintetik, pusat e-sports, lebih banyak pusat perniagaan.
“Benda-benda macam ini orang kampung boleh (terima). Kita nak perkasakan, kita tak nak (buat) janji baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui saingan di kerusi itu agak sengit kerana melibatkan parti yang besar seperti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu katanya, misi utama beliau pada saat-saat kritikal berkempen ketika ini adalah untuk mendekati anak muda seramai mungkin kerana menyifatkan undi golongan itu boleh menjadi penentu kemenangan pada PRU15.
“Jadi, di akhir-akhir kempen ini, kita akan mengadakan satu program sembang santai dengan mahasiswa yang nak balik mengundi iaitu hampir 600 orang, kita nak bersua muka dengan mahasiswa dan mendengar pandangan mereka,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut menjangkakan sebanyak 30,000 undi putih dapat diterjemahkan pada hari pengundian esok seterusnya memberi ruang kepada BN untuk menawan Tasek Gelugor.
Muhamad Yusoff akan merebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam persaingan lima penjuru dengan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN); Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH) serta calon Warisan; Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang) dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 80,920 orang. – UTUSAN