KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak.
Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju itu bersama isterinya, Datin Seri Rozita Awang Ngah tiba di pusat pengundian pada pukul 9.25 pagi.
Beliau yang tampil segak dengan berbaju kemeja putih meluangkan masa bersalaman dengan pengundi lain sebelum mengundi pada pukul 9.35 pagi.
Ketika ditemui, Mohd Shafei berharap semua penduduk Wangsa Maju keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini sebelum pusat mengundi di seluruh kawasan Parlimen itu ditutup pada pukul 6 petang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk yang datang mengundi pada pagi ini.
“Saya berharap agar mana-mana penduduk yang masih belum berbuat demikian dapat turun beramai-ramai dan menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.
Terdahulu, suasana di pusat pengundian di sini mula sesak sejak pukul 7.30 pagi dengan kehadiran pengundi sekitar yang teruja untuk mengundi meskipun pusat pengundian hanya dibuka pada pukul 8 pagi.
Parlimen Wangsa Maju kali ini menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Mohd Shafei, Zahir Hassan (PH), Nuridah Mohd. Salleh (PN), Norzaila Arifin (GTA), Wee Choo Keong (Warisan) dan Ravee Suntheralingam (Bebas).
Pada PRU14, penyandang, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew daripada PH memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju dengan meraih 42,178 undi, menewaskan calon BN, Datuk Seri Yew Teong Look yang memperoleh 17,940 undi dan Razali Tumirin daripada Pas (13,490 undi). – UTUSAN