PRU15: Calon BN Batu Kawan tidak goyah berdepan Ketua Menteri - Utusan Malaysia

PRU15: Calon BN Batu Kawan tidak goyah berdepan Ketua Menteri

CALON BN kerusi Parlimen Batu Kawan, Datuk Tan Lee Huat ketika turun berkempen di sekitar Jalan Gan Chai Leng, Perai, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Batu Kawan, Datuk Tan Lee Huat tidak goyah dan berasa tergugat meskipun perlu berdepan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow daripada Pakatan Harapan (PH-DAP) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Lee Huat yang juga Pengerusi BN Batu Kawan berkata, meskipun pengaruh yang dimiliki oleh Kon Yeow yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu sangat besar, namun beliau menyifatkan ia tidak dapat dibandingkan dengan pengalaman yang dimilikinya di kawasan berkenaan selaku anak tempatan.

“Dari segi sumber mahupun penyokong, Kon Yeow memang ada kelebihan, tapi dari segi bekerja, saya tak kalah kerana sudah bergiat aktif selama 14 tahun di Parlimen Batu Kawan sebagai pengerusi bahagian.

“Justeru, segala masalah dan rayuan pengundi di sini memang kita sudah faham, tak jadi masalah untuk saya membantu mereka kelak,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat di Jalan Gan Chai Leng, Perai, di sini semalam.

Menurut Lee Huat, beliau akan berusaha menyelesaikan masalah sistem pengairan dan saliran yang membelenggu penduduk di Taman Chai Leng sejak 14 tahun lagi sekiranya diberi mandat sebagai ahli Parlimen kelak.

Ujar beliau, BN telah kehilangan kerusi Parlimen itu sejak tiga penggal, namun masalah tersebut tidak dapat diselesaikan oleh kepemimpinan DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Sekiranya saya diberi mandat menjadi wakil rakyat di sini, sudah tentu saya akan selesaikan masalah yang dialami penduduk penduduk setempat menggunakan sumber Kerajaan Persekutuan.

“Pada masa sama, kita turut membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk merealisasikan konsep ‘1+1=2’ iaitu dapat wujudkan situasi menang-menang. Ini semua adalah untuk rakyat,” katanya.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Batu Kawan dimenangi PH menerusi calonnya, P. Kasthuriraani dengan undi sebanyak 42,683 mengalahkan Jayanthi Devi Balaguru (BN) yang memperoleh 9,130 undi dengan majoriti undi sebanyak 33,553.

Kerusi itu pada PRU15 pula menyaksikan pertandingan lima penjuru termasuk calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Lee Ah Leong; Wong Chia Zhen ((PN) dan Ong Ching Wen (Warisan) dengan jumlah pengundi berdaftar di kawasan itu sebanyak 88,864 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya