PRU15: Buat pilihan bijak demi kestabilan, kemakmuran - PM

PRU15: Buat pilihan bijak demi kestabilan, kemakmuran – PM

ISMAIL SABRI Yaakob dalam sidang akhbar selepas program ramah mesra bersama penduduk Bandar 32 di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap semua pengundi membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi kestabilan dan kemakmuran negara pada masa akan datang. 

Perdana Menteri berkata, pengundi perlu memilih parti yang mampu membawa kestabilan negara terutama dalam sektor ekonomi iaitu yang antaranya dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada pengundi-pengundi baharu.

“Pilih parti yang mampu bawa kestabilan ekonomi negara, selain itu turut memfokuskan kepada sektor pendidikan. Bagaimana kerajaan baharu nanti boleh membantu para pelajar dan sebagainya.

“Begitu juga dengan dasar pendidikan, yang mungkin akan diubah, dipinda atau sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas program ramah mesra bersama penduduk Bandar 32 di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, rakyat perlu memilih kerajaan mempunyai rekod pencapaian yang terbukti dalam menjaga kepentingan rakyat demi kemakmuran masa depan generasi akan datang.

“Kita kena pilih parti berdasarkan rekod pencapaian, parti yang berjaya dalam menjaga kepentingan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dan B40,” ujarnya.

Ditanya keyakinan Barisan Nasional (BN) menang PRU15, Ismail Sabri berkata, parti itu yakin mampu mentadbir negara bermula Ahad ini. 

“Walaupun kita tak keluarkan Kabinet bayangan tetapi kita (BN) yakin dan mampu untuk menang, sekali gus mentadbir negara mulai dari 20 hari bulan (20 November) nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya