PRU15: Bomba jalankan pemeriksaan keselamatan di premis cetak kertas undi - Utusan Malaysia

PRU15: Bomba jalankan pemeriksaan keselamatan di premis cetak kertas undi

MOHAMAD Hamdan Wahid (tengah) ketika merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) Peringkat Zon Utara di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran di premis-premis yang menjadi tempat mencetak kertas undi untuk kegunaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan selamat dan bebas daripada risiko kebakaran.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini beberapa premis milik Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang diberi tanggungjawab mencetak kertas undi di Kuala Lumpur telah diperiksa.

”Apabila diumumkan pilihan raya berlaku, satu obligasi pihak bomba ialah menjalin kerjasama dengan pusat percetakan yang dilantik untuk mencetak kertas undi bagi memastikan premis tersebut bebas daripada risiko kebakaran.

”Pemeriksaan keselamatan kebakaran ini juga dijalankan untuk memastikan kertas-kertas undi yang dicetak disimpan di tempat yang selamat dan bebas daripada sebarang risiko,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) Peringkat Zon Utara di sini hari ini.

Menurut Mohammad Hamdan, pemeriksaan keselamatan kebakaran itu juga akan turut dijalankan di premis-premis peringkat negeri yang menjadi tempat mencetak kertas undi.

Selain itu tambah beliau, anggota JBPM juga akan menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi-lokasi yang telah diwartakan sebagai pusat pengundian PRU15.

“Kita juga akan menjalankan pemeriksaan di tempat pengiraan undi bagi mengelakkan berlakunya sebarang risiko yang membahayakan petugas-petugas ketika mengira undi,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, anggota-anggota JBPM juga diletakkan dalam tahap siap sedia yang tinggi dalam tempoh seminggu selepas keputusan PRU15 diumumkan bagi memastikan keselamatan semua pihak.

”Ketika tempoh ini, kita akan berada pada mod siap sedia yang tinggi dan selalunya kita bergerak bersama-sama dengan pihak polis. Cuti seramai 12,500 anggota bomba di peringkat operasi juga telah dibekukan sehingga 30 November ini sebagai persediaan menghadapi PRU15 termasuk persediaan berdepan banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya