PRU15: Banda Hilir lengang, rakyat pulang mengundi

PRU15: Banda Hilir lengang, rakyat pulang mengundi

ABU Bakar Osman (kanan) bersama rakan pengayuh beca lain sedang menunggu pelanggan di sekitar Banda Hilir, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cuti kelepasan am Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 18 dan 19 November dilihat dimanfaatkan rakyat sebaiknya untuk pulang mengundi, selepas kehadiran pelancong ke negeri ini didapati merosot.

Tinjauan Utusan Malaysia di Banda Hilir di sini mendapati, pusat perniagaan Medan Samudera dan kawasan-kawasan tumpuan pelancong lengang, tidak sibuk seperti kebiasaan hujung minggu.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, pengayuh beca, Abu Bakar Osman, 62, berkata, dia keluar mencari rezeki seawal pukul 6.40 pagi, namun setakat pukul 2 petang semalam belum mendapat pelanggan.

Dia yang telah 40 tahun mengayuh beca berkata, kehadiran pelancong dilihat susut dengan ketara sejak beberapa hari lalu disebabkan orang ramai mula membuat perancangan untuk pulang mengundi.

RAHMAH Hidayat menyusun barang jualannya di gerainya di Medan Samudera, Banda Hilir, Melaka. – FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

“Saya telah pergi ke beberapa lokasi sekitar Banda Hilir untuk mendapatkan pelanggan, namun hampa kerana masih tiada yang mahu menaiki beca. Suasana sekitar pun agak lengang dan kawasan tempat letak kereta masih banyak yang kosong.

“Keadaan ini jauh berbeza berbanding minggu biasa. Bagaimanapun, saya sudah menjangkakannya kerana setiap kali musim pilihan raya, pelancong akan berkurangan di Melaka. Saya berharap orang ramai akan keluar selepas membuang undi esok untuk bersiar-siar,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kedai, Rahmah Hidayat, 35, berkata, faktor PRU15 dan cuaca yang tidak menentu membuatkan orang ramai berfikir dua kali untuk melancong ke situ.

Menurutnya, kunjungan pelanggan ke kedainya merosot sejak dua minggu selepas penamaan calon.

“Saya perhatikan sejak mula kempen lagi pelanggan sudah berkurangan, ditambah pula berita di media beberapa kawasan di Melaka banjir kilat. Selain itu, orang ramai mungkin merancang untuk bercuti pada bulan depan susulan cuti persekolahan yang panjang.

“Memang kerajaan memberi cuti kelepasan am, tetapi tempoh itu sangat terhad dan orang ramai menggunakan dengan sebaiknya untuk pulang mengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya