PRU15: BN, PH tidak boleh bentuk kerajaan bebas rasuah - Azmin - Utusan Malaysia

PRU15: BN, PH tidak boleh bentuk kerajaan bebas rasuah – Azmin

MOHAMED AZMIN ALI ketika berucap dalam ceramah rakyat Perikatan Nasional (PN) di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan bagaimana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mahu membentuk kerajaan yang bersih sedangkan terdapat calon pilihan raya gabungan itu masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.

Mohamed Azmin berkata, pada hari penamaan calon lalu boleh dilihat BN dan PH mengemukakan calon yang bergelumang dengan rasuah.

Malah, tambah beliau, ada calon yang telah didakwa di mahkamah, namun masih tidak berasa malu untuk mengemukakan borang pencalonan PRU15.

“Macam mana mereka (BN) nak bentuk kerajaan yang bersih sedangkan mereka ada kes rasuah yang sedang berjalan di mahkamah.

“PH pun nak lakukan reformasi, tetapi ada pemimpin PH yang mempunyai pertuduhan rasuah. Yang muda rasuah, tua rasuah, Melayu rasuah, Cina pun rasuah.

“Ini berbeza dengan calon-calon PN, dari Marang hingga ke Balik Pulau calon kita bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa,” katanya ketika berucap dalam ceramah rakyat PN berhubung isu penambakan laut di Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon PN kerusi Parlimen Balik Pulau, Harris Idaham Rashid dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

Mengulas lanjut di dalam sidang akhbar, Mohamed Azmin yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak berkata, pemimpin PH dan BN sepatutnya memberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu sementara kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah.

“Ini tidak memberikan satu gambaran mereka akan membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan tidak rasuah,” katanya.

Sehubungan itu tambah Mohamed Azmin, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menghukum BN dan PH pada hari pengundian nanti.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menghukum PH dan BN yang tidak jujur dalam menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat.

“Saya percaya rakyat hari ini sudah matang, pengundi di Pulau Pinang juga matang dan dapat menilai siapakah gabungan yang benar-benar ikhlas dan mampu membentuk kerajaan yang kuat, stabil dan bersih iaitu PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya