PRU15: Anak perantau Terengganu pulang mengundi

PRU15: Anak perantau Terengganu pulang mengundi

KEADAAN kenderaan yang sesak di Plaza Tol Kuala Terengganu dekat Kampung Gemuruh, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - FOTO/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kemeriahan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kian terasa dengan kepulangan anak perantau ke Pantai Timur khususnya Terengganu yang memanfaatkan cuti panjang seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Plaza Tol Kuala Terengganu dekat Kampung Gemuruh di sini hari ini, mendapati kesesakan berlaku lebih dua kilometer dan trafik dijangka terus meningkat menjelang malam ini.

Seorang pekerja kilang dari Johor Bahru, Abdullah Idris, 27, berkata, dia bersama dua rakannya sanggup menunggang motosikal hampir 15 jam untuk pulang ke Tanah Merah, Kelantan bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Alhamdulillah, cuaca sangat baik, redup sahaja sepanjang jalan dan kami pun tidak terlalu laju kerana tiada apa yang hendak dikejarkan di kampung.

“Cuma kasihan tengok mereka yang menaiki kereta kerana sesak agak teruk di beberapa tempat, namun itu tidak menghalang kita semua untuk pulang memilih pemimpin yang amanah, bersih dan bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Plaza Tol Kuala Terengganu, dekat Kampung Gemuruh di sini, hari ini.

Seorang pelajar, Luqmanul Haqim Ahmad, 20, pula berkata, beliau sangat teruja dapat pulang ke Kuala Terengganu untuk menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia untuk kali pertama pada PRU-15 kali ini.

“Saya dan kawan-kawan yang berasal dari Terengganu berpakat untuk berkongsi kereta bagi menjimatkan perbelanjaan dan mula bertolak dari Sepang, Selangor selepas Subuh tadi.

“Jalan memang agak sesak sebaik sahaja memasuki Plaza Tol Gombak, namun kami seronok kerana ini adalah pengalaman yang sangat ‘mahal’ dan ‘manis’ dikenang, apatah lagi bila melihat  banyak kereta yang mengibarkan bendera dan logo parti politik pilihan masing-masing.

“Memang kemeriahannya sangat dirasai dan ini lah bukti rakyat Malaysia ada kesedaran untuk memastikan negara terus dipacu ke arah yang lebih baik melalui sistem demokrasi berparlimen dengan mengundi,” katanya.

Seorang guru swasta dari Puchong, Aleef Fadhla Hanafi, 31 pula menyifatkan kesesakan jalan raya hari ini lebih teruk berbanding sambutan Aidilfitri yang lalu namun ia tidak mematahkan semangat anak perantau pulang ke kampung halaman untuk menjadi sebahagian dari sejarah negara melalui PRU-15 ini.

“Saya cuba elak menggunakan laluan yang sesak teruk kerana membawa pulang bayi kecil lantas memilih beberapa jalan alternatif  untuk pulang mengundi ke Kampung Kuala Abang di Dungun.

“Namun, jalan alternatif pun ada juga yang sesak kerana limpahan kereta anak perantau ingin pulang. Tidak mengapalah kerana sedikit pengorbanan ini pasti ada hikmahnya untuk rakyat membawa perubahan demi kebaikan semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya