PRU15: Anak bekas Timbalan Ketua Menteri calon wanita tunggal GRS - Utusan Malaysia

PRU15: Anak bekas Timbalan Ketua Menteri calon wanita tunggal GRS

YEE Tsai Yiew (tiga kanan) terima watikah pelantikan calon daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Anak kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah menjadi satu-satunya calon wanita yang diumumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Yee Tsai Yiew, 32, ingin tampil dengan cara tersendiri tanpa dibayangi bapanya, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Yee Moh Chai.

Calon Parlimen Kota Kinabalu itu akan menentang Chan Foong Hin selaku penyandang kerusi berkenaan serta Amanda Yeo yang mewakili Parti Warisan (Warisan).

Tsai Yiew berkata, mengambil kira trend semasa, beliau akan memanfaatkan penggunaan media sosial bagi menarik perhatian pengundi muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Pencalonan buat kali pertama ini bukan sahaja membuatkan saya sangat teruja malah ini adalah pengalaman berharga dalam PRU15.

“Kota Kinabalu adalah salah satu kawasan yang agak sukar ditandingi namun, saya akan cuba menggalas tanggungjawab untuk memastikan masalah dan suara rakyat akar umbi di bandar raya ini akan didengari.

“Dorongan dan tunjuk ajar ayah saya yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api akan membantu saya lebih memahami masalah rakyat di sini,” katanya semasa pengumuman calon GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) semalam.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) Sabah tampil dengan dua calon wanita iaitu Datuk Siti Aminah Aching bagi Parlimen Beaufort dan Maizatul Akmam Alawi bagi Parlimen Lahad Datu.

Ketua Wanita UMNO Beaufort itu diberi amanah mempertahan kerusi yang dimenangi di atas tiket BN pada PRU14 sebelum penyandangnya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU14.

Siti Aminah berkata, beliau akan terus memperjuang suara wanita di Parlimen sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

“Saya rasa dihargai diberi tempat ini dan bangga menjadi calon pada PRU15 kerana perjuangan menjadi Wanita UMNO Sabah dapat diteruskan dalam memperjuang hak-hak wanita,” katanya.

Bekas Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat itu berkata, kepercayaan yang diberi pucuk pimpinan parti itu tidak akan disia-siakan.

Bagi Maizatul Akmam, beliau sedia menggalas tanggungjawab melaksanakan pembangunan yang tergendala di kawasan yang kini disandang oleh Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dengan pengalaman luas sebagai peguam, beliau percaya usaha membangunkan Lahad Datu akan dapat dilakukan dengan sokongan semua pihak terutama kepimpinan BN.

“Sebagai calon wanita pertama di Parlimen Lahad Datu, kita lihat peratus pengundi lelaki dan wanita di sini adalah hampir sama, saya percaya pengundi wanita akan memilih calon wanita begitu juga pengundi muda.

“Saya yakin kita akan mampu merampas semula kerusi ini berdasarkan trend sokongan terhadap BN yang sudah kembali meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya