KEMAMAN: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berdepan saingan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Ahmad yang mewakili Barisan Nasional (BN) dicabar penyandang Parlimen itu, Che Alias Hamid daripada Perikatan Nasional (PN), Hasuni Sudin daripada Pakatan Harapan (PH) dan Rosli Ab. Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Ahmad bersama penyokongnya, Hisyam Zuber dan pencadang, Ahmad Fikry Ibrahim menyerahkan borang pencalonan kira-kira pukul 9.02 pagi diikuti calon Pas pada pukul 9.06 pagi, calon Pejuang pukul 9.12 pagi dan PH pukul 9.16 pagi.
Pengumuman tamat penyerahan borang penamaan calon diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab pada pukul 10 pagi.
Ahmad Farhan berpuas hati dengan perjalanan penamaan calon dan tiada calon yang ditolak.
Lebih 2,000 penyokong kesemua parti yang membawa sepanduk dan bendera masing-masing kekal tenang dan saling berbalas laungan zikir serta takbir sementara menunggu calon masing-masing selesai membuat penyerahan borang.
Pada PRU14, Che Alias meraih undi sebanyak 39,878 menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selepas mendapat 37,715 undi manakala calon PKR, Mohd. Huzaifah Md. Suhaimi memperoleh 12,911 undi. – UTUSAN