PRU15: Ahmad Jazlan jawab fitnah salah guna kuasa - Utusan Malaysia

PRU15: Ahmad Jazlan jawab fitnah salah guna kuasa

AHMAD Jazlan Yaakub (tengah) semasa bersama anak-anak tahfiz di Masjid Ar-Razak, di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyifatkan dakwaan sebuah laman sesawang yang berkait salah guna kedudukan semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini adalah fitnah bertujuan merosakkan reputasi sebagai calon parti itu di Parlimen Machang.

Ahmad Jazlan berkata, tuduhan yang dilemparkan berkait dengan pembinaan masjid yang diberi nama Ar-Razaq itu tidak berasas sama sekali kerana ia turut digunakan oleh komuniti setempat dan pelajar tahfiz yang terdiri daripada golongan asnaf.

Menurutnya, projek itu bukan diluluskan oleh beliau selaku Timbalan Menteri pada waktu itu, sebaliknya dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian dengan kos sebanyak RM188,000.

“Bayangkan macam mana masjid yang bernilai RM188,000. Saya telah mendapat sumbangan daripada keluarga serta sahabat yang bersedekah bagi menyiapkan masjid berkenaan sehingga ia dapat diguna dengan elok dan baik.

“Saya bukan emosi tetapi saya cukup terluka bila mereka menggunakan cara ini dan dilihat seolah-olah terdesak untuk mengalahkan saya di Machang. Ini adalah fitnah, adalah dosa besar, apatah lagi melibatkan pelajar tahfiz yang menggunakan Masjid Ar-Razaq ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang memberitahu, beliau bersedia untuk berhadapan dengan pihak berwajib bagi menjalankan siasatan berkenaan dakwaan itu.

Katanya, tidak timbul isu mengenai masjid berkenaan telah dibina di atas tanah milik isterinya kerana tanah tersebut telah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

“Saya sedia untuk berhadapan dengan tuduhan mahkamah dunia dan kepada mereka yang membuat laporan berkenaan sila berjumpa dengan saya di mahkamah akhirat.

“Tanah ini sudah diwakafkan kepada MAIK dan perkara tersebut boleh disemak di Pejabat Tanah dan Jajahan. Saya amat terkilan dengan dakwaan ini dan diharap pengundi-pengundi dapat menilainya,” jelasnya.

Sebelum itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Machang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis berkait salah guna kuasa dilakukan oleh Ahmad Jazlan melibatkan projek bernilai RM2.2 juta sebagaimana disiarkan sebuah laman sesawang pada 14 November lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya