PRU15: 10,000 biji paracetamol percuma untuk pengundi

PRU15: 10,000 biji paracetamol percuma untuk pengundi

KLINIK Penawar Ampangan menawarkan 10,000 biji pil percuma kepada orang ramai yang menjalankan tanggungjawab mengundi esok. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 10,000 biji paracetamol atau ‘panadol’ ditawarkan secara percuma oleh Klinik Penawar Ampangan di sini kepada orang ramai yang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok.

Pengarah Urusan Klinik Ampangan, Zaid Al Helmi Mohd. Yunus, 39, berkata, pemberian paracetamol itu merupakan salah satu inisiatif dan tanggungjawab sosial kliniknya dalam memeriahkan suasana pilihan raya.

“Mungkin dengan pemberian paracetamol ini boleh mempengaruhi orang ramai terutama golongan muda keluar mengundi dalam masa sama mereka ada simpanan ubat tahan sakit di rumah.

“Sejak dua ke tiga bulan lalu, berlaku kekurangan bekalan paracematol di kedai serbaneka dan farmasi, jadi kami hendak bantu masyarakat untuk dapatkan ubat serta kekal sihat,” katanya ketika ditemui di Klinik Penawar Ampangan, di sini hari ini.

Zaid Al Helmi berkata, orang ramai boleh menebus paracetamol itu secara percuma bermula pukul 8 pagi dengan hanya menunjukkan jari yang dicelup dengan dakwat sebagai bukti.

“Setiap individu layak mendapat satu papan paracetamol dan terhad sehingga 10,000 biji untuk hari pengundian esok 19 November 2022. Program ‘Jom Mengundi dan Tebus Panadol Percuma’ ini merupakan pertama kali diperkenalkan oleh Klinik Penawar Ampangan dan kami jangkakan respon positif daripada orang ramai,” katanya.

Menurut Zaid Al Helmi, pemberian paracetamol itu sangat sesuai dalam keadaan negara menjalankan pilihan raya ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa.

“Ketika menjalankan tanggungjawab mengundi, masyarakat diingatkan supaya tetap menjaga kesihatan. Setiap undi amat bermakna bagi kita menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara, jangan lupa jalankan tanggungjawab anda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya