KOTA KINABALU: Semakin hampir dengan hari penamaan calon semakin ramai nama-nama besar dijangka kembali mewarnai pentas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan antara nama disebut-sebut bakal kembali beraksi pada PRU-15.
Namun, belum ada pengesahan dibuat oleh Barisan Nasional (BN) Sabah sama ada nama Musa Aman dan Abdul Rahman tersenarai sebagai calon pilihan raya kali ini.
Jadi, sama ada nama mereka tersenarai atau tidak, ia akan diketahui petang esok (2 November) semasa pengumuman calon Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Baru-baru ini, semasa ditanya jika Musa Aman akan bertanding, Timbalan BN Sabah, Datuk Yakub Khan dilihat mengunci mulut mengenai perkara itu. Sebaliknya, Yakub meminta pemberita bertanya sendiri hal tersebut kepada Musa.
Khabar angin menyatakan Musa akan bertanding di kerusi Parlimen Libaran. Jika benar, itu adalah kali pertama beliau bertanding di peringkat Parlimen.
Sementara itu, Abdul Rahman pula secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Kota Belud iaitu kerusi yang pernah dimenanginya selama dua penggal bermula pada 2008 hingga 2017.
Semalam, Parti Cinta Sabah (PCS) tampil menyatakan hasrat untuk meletakkan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, difahamkan UMNO Sabah memang ada menawarkan kerusi Libaran kepada Musa bagi membolehkannya kembali dalam arena politik.
Walau bagaimanapun, ia terpulang kepada bekas Ketua Menteri Sabah itu untuk menerima mahupun menolak tawaran berkenaan.
Bagi Anifah pula, jika beliau bertanding atas tiket PCS, ia bukan laluan mudah baginya kerana kerusi Parlimen Kimanis disandang oleh Datuk Mohamad Alamin yang mewakili BN.
“Saya bimbang sekiranya Anifah bertanding, ia akan menjurus kepada perpecahan undi dan akhirnya keadaan itu akan menguntungkan pihak lawan.
“Kita tahu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dan PRU-14, kita menyaksikan persaingan sengit antara BN dan Parti Warisan. Ketika PRK Kimanis,”
Mengulas lanjut katanya, Abdul Rahman pula seolah-olah tidak diterima oleh pemimpin akar umbi kerana dikatakan bukan anak jati Kota Belud.
Justeru, kepemimpin parti perlu mengambil kira suara di peringkat akar umbi sebelum meletakkan calon di kawasan tertentu.
Malah, kain rentang turut dibentangkan bagi menolak Abdul Rahman sebagai calon Barisan Nasional di Kota Belud. –UTUSAN