PRU-15: Calon PBRS, Bersatu langgar kerusi parti komponen sendiri - Utusan Malaysia

PRU-15: Calon PBRS, Bersatu langgar kerusi parti komponen sendiri

EWON Ebin (tengah) bersama calon Parlimen Ranau semasa pengumuman calon di Dewan Masyarat Ranau hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat tidak berjaya mengelak pertembungan berlaku antara parti-parti komponennya.

Setakat ini, dua kerusi Parlimen menyaksikan pertembungan antara parti-parti komponen GRS dan BN di Sabah iaitu kerusi Parlimen Beluran dan Ranau.

Di Ranau, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang diwakili Datuk Ewon Ebin akan bertembung dengan Datuk Jonathan Yasin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bertanding atas tiket GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jonathan adalah penyandang kerusi Parlimen Ranau yang memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,076 undi semasa bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

Sebelum ini, Ewon pernah menjadi Ahli Parlimen Ranau dan memegang jawatan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pada pilihan raya kali ini, Ewon akan bertanding menggunakan logo PBRS iaitu salah satu parti komponen BN di Sabah.

Kerusi Parlimen Ranau akan memperlihatkan persaingan lima penjuru antara Ewon, Jonathan, Taufik Dahlan daripada Pakatan Harapan (PH), Azizul Julirin daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Markos Siton mewakili Parti Warisan (Warisan).

Kerusi Parlimen Ranau mempunyai seramai 66,517 pengundi berdaftar pada PRU-15.

Sementara itu, di kerusi Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee akan bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Ronald akan bertembung dengan calon BN yang ditempatkan di Beluran iaitu Benedict Asmat.

Di kerusi Parlimen Beluran juga akan memperlihatkan pertembungan lima penjuru antara Ronald, Benedict, Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang (PH).

Pada PRU-15, seramai 44,727 pengundi berdaftar akan mengundi pada 19 November ini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya