KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa menyerahkan kepada pengundi di kawasan Parlimen Ketereh sebelum membuat sebarang keputusan untuk menentukan perjalanan seterusnya selepas nama beliau tidak tercalon bagi mempertahan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, beliau menerima keputusan tersebut seadanya, berlapang dada dan mahu menutup dahulu episod berkenaan serta memandang ke depan untuk menghitung langkah seterusnya.
“Alhamdulillah, baru jelas setelah mendengar sendiri keputusan yang mereka buat dan umumkan sebentar tadi. Sebelumnya agak samar kerana langsung tak dirujuk, jauh sekali dari dirundingi seperti mana tertulis di dalam perlembagaan parti.
“Pilihan Raya Umun Ke-14 (PRU-14) dulu, lebih 25,000 mengundi saya. Ahli UMNO Ketereh cuma 14,000, bererti lebih dari 11,000 undi datangnya bukan dalam kalangan ahli UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya, malam tadi.
Annuar berkata, sokongan yang diberikan oleh rakyat itu amat dihargai sekali gus memenuhi aspirasinya yang mahu melihat ahli dan bukan ahli UMNO terutama dalam kalangan ahli Pas supaya kekal bersatu serta menjunjung semangat Muafakat Nasional sebagaimana diperjuang secara bersama.
“Pastinya jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut, tikaman tidak bertepis, fitnah tidak berjawab dan hutang tidak berbayar.
“Elok dahulukan berfikir dengan akal yang panjang. Kemudian bolehlah nanti kita bertindak dengan jiwa yang tenang dan dada yang lapang. Insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN