Proses penamaan calon seluruh negara terkawal- KPN

Proses penamaan calon seluruh negara terkawal- KPN

ACRYL Sani Abdullah Sani meninjau proses penamaan calon bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di 222 pusat penamaan seluruh negara berlangsung dalam suasana aman dan terkawal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, maklumat yang diterima dari seluruh kontinjen mendapati proses penamaan calon yang berlangsung hari ini mengikut peraturan-peraturan berpandukan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, beliau mengarahkan semua ketua polis negeri untuk sama-sama turun meninjau kawasan penamaan calon di kawasan mereka bagi memberi keyakinan kepada masyarakat.

“Saya juga berada di sini untuk melihat sendiri proses penamaan calon apakah dilakukan mengikuti peraturan-peraturan ditetapkan. 

“Walaupun kita mendengar ulasan-ulasan dari pemerhati politik dan pihak tertentu yang mengatakan bahawa PRU-15 ini adalah pemilihan yang sengit disebabkan perkembangan politik semasa, namun saya melihat daripada proses ini, nampaknya keadaan tenang dan terkawal,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Acryl Sani diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim hadir di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya di sini bagi meninjau proses penamaan calon bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Beliau tiba kira-kira pukul 9.35 pagi sebelum mendengar taklimat daripada pegawai bertugas mengenai perjalanan proses penamaan calon di kawasan itu.

Dalam pada itu, Acryl Sani memberi jaminan, PDRM bersama agensi lain akan memastikan bahawa keadaan tempoh berkempen selama dua minggu yang bermula hari ini diadakan dalam keadaan selamat dan terkawal. 

Beliau mengingatkan  semua parti politik termasuk calon-calon yang terlibat agar memastikan kempen yang dilakukan mereka dibuat dengan penuh tatatertib, berhemah dan bertanggungjawab.

“Mereka yang terlibat perlu memastikan tidak menyentuh isu-isu yang terlalu ekstrem berkaitan dengan agama, perkauman dan seumpamanya yang boleh mencetuskan kekacauan sepanjang kempen berlangsung,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Acryl Sani memberitahu, sebanyak 292 kawasan flash point dikenal pasti di seluruh negara yang mana mudah berlakunya insiden sekiranya berlakunya sedikit provokasi.

Daripada jumlah itu, hasil kajian dan semakan dilakukan mendapati sebanyak 52 lokasi dikategorikan sebagai kawasan panas bagi PRU-15.

Ujar beliau, kawasan panas adalah terma yang digunakan oleh PDRM untuk menerangkan lokasi-lokasi di kawasan berkenaan sangat mudah berlaku pecah keamanan atau gangguan ketenteraman awam.

“Tempoh hari saya ada maklum 100 kawasan dikenal pasti tetapi selepas dikaji dan hasil taklimat Cawangan Khas baru-baru ini, sebanyak 52 kawasan dikategorikan sebagai kawasan panas.

“Bukan hanya disebabkan isu politik tetapi ketidakpuasan hati penduduk setempat sesama sendiri sebagai contoh perebutan tempat letak kereta, meja di kedai makan yang mana ia membabitkan antara kaum.

“Hanya kerana perkara remeh tetapi ia menjadi besar sekiranya tidak ditangani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya