KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan membiarkan projek-projek ‘sakit’ terbengkalai di Tasik Kenyir, sebaliknya akan meneruskan pembinaannya dengan menarik pelabur baharu untuk melonjakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, antara projek sakit di Tasik Kenyir ialah di Pulau Bayas seperti pembinaan bangunan terminal jeti penumpang, kompleks beli-belah dan Pusat Perdagangan Kenyir.
“Selain itu, kerja membina dan menyiapkan bangunan pencawang elektrik, sistem agihan bekalan voltan tinggi dan rendah, sistem rawatan air serta sistem kumbahan akan disiapkan tidak lama lagi,” katanya
Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan tambahan, Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) dalam sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, ketika mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018, kerajaan Terengganu pimpinan Pas juga telah menyiapkan projek-projek di Pulau Poh, Tasik Kenyir iaitu Jambatan Ikonik, jeti penumpang dan meneruskan pembinaan hotel.
“Jambatan Ikonik dijangka dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin manakala jeti penumpang pula telah diserahkan pengurusannya kepada Terengganu Incorporated Sdn. Bhd..
“Pembinaan hotel pula telah mencapai tahap kemajuan antara 90 hingga 95 peratus. Masalah kelewatan kerja adalah berpunca daripada kontraktor dan bukannya kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi memperkasakan fasiliti pelancongan yang terdapat di Terengganu pada tahun depan.
Beliau berkata, peruntukan itu bertujuan menambah baik dan menyelenggara fasiliti pelancongan setiap daerah termasuk di kawasan pelancongan berasaskan komuniti. – UTUSAN