Projek Klinik Kesihatan Padang Besar siap 82 peratus

Projek Klinik Kesihatan Padang Besar siap 82 peratus

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan meninjau dan mendengar taklimat berhubung perkembangan pembangunan Projek Klinik Kesihatan dan Kuaters di Padang Besar, Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau status terkini kerja-kerja membangunkan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters 2F/2G di sini hari ini.

Mengikut perancangan, projek itu yang lengkap pembinaannya sebanyak 82 peratus dijadualkan siap sepenuhnya pada 11 Februari tahun depan dengan beberapa kemudahan bakal disediakan di sana.

Pelaksanaan projek di atas tanah lot berkeluasan 0.177 hektar itu juga merangkumi pembinaan Klinik Jenis Teja dua tingkat yang mempunyai Klinik Pesakit Luar, Klinik Ibu Mengandung, Klinik Pergigian, Bilik X-Ray dan Kecemasan. 

Selain itu, ia juga mempunyai empat unit kuarters buat kakitangan kesihatan dan mampu menampung bilangan pesakit sekitar 300 sehingga 400 orang dalam masa satu hari.

Hadir sama mengiringi Tuanku Syed Faizuddin ke tapak projek itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Taklimat perkembangan projek itu dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Mohd Shahril Mohd Said.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin ke tapak projek itu juga adalah bersempena dengan Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Bilangan Ke-77 Bagi Tahun 2022. 

Selepas lawatan itu, baginda turut berkenan menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs di tiga buah rumah milik keluarga asnaf terpilih sekitar Felda Mata Air di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya