SUNGAI BULOH: Bantuan meringankan beban kos sara hidup golongan B40 merupakan antara manifesto yang bakal diumumkan oleh calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, memaklumkan bantuan berkenaan akan diperkenalkan di bawah program ‘BERI’.
Jelasnya, ‘BERI’ akan diumumkan pada Ceramah Umum Kota Damansara, bersama manifesto yang lain pada pukul 9 malam esok bertempat di Seksyen 4, Kota Damansara.
“Program ‘BERI’ ini merupakan bantuan untuk meringankan kos sara hidup B40 di mana kita akan mewujudkan satu data penyelarasan senarai maklumat penerima yang layak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita juga akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengumpul maklumat melalui program kelolaan saya dalam menjamin semua penduduk Sungai Buloh mampu menghadapi cabaran kos sara hidup bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program ‘walkabout’ bersama peniaga sekitar Saujana Utama di sini, hari ini.
Menurut Ramanan, beliau menjangkakan kehadiran lebih ramai pengundi di Sungai Buloh untuk mendengar pengumuman manifestonya selepas kejayaan Ceramah Mega Paya Jaras, Ahad lalu.
“Tetapi bergantung juga kepada keadaan cuaca esok, namun kalau tengok Ceramah Mega Paya Jaras lebih 2,000 orang yang hadir, jadi ini memberi semangat kepada saya untuk esok,” katanya.
Mengulas lanjut Ramanan berkata, manifesto yang bakal diumumkannya itu akan menekankan dua elemen penting iaitu kebajikan penduduk serta penyelesaian masalah yang dihadapi pengundi di SungaI Buloh.
“Bagi saya cara menyelesaikan masalah adalah lebih penting daripada bercakap tentang penyelesaian seperti masalah banjir yang dihadapi,” katanya.
Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy Jamaluddin (BN), R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas. – UTUSAN