KULAI: Seorang lelaki ditahan kerana mematahkan tiang dan merosakkan bendera kempen Barisan Nasional (BN) di Taman Senai Utama, dekat sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 58 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk.
“Pada pukul 12.15 tengah malam tadi, anggota polis menerima makluman terdapat seorang lelaki mabuk membuat provokasi dengan mematahkan bendera yang dipasang jentera kempen BN.
“Polis kemudiannya menahan suspek berusia 58 tahun tersebut dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, calon BN di kerusi Parlimen Kulai, Chua Jian Boon memberitahu, suspek turut bertindak memarahi jenteranya yang sedang memasang bahan kempen tersebut, malah bendera yang dipasang turut ditanggalkan. – UTUSAN