Polis siasat kejadian rosakkan bendera, poster BN - Utusan Malaysia

Polis siasat kejadian rosakkan bendera, poster BN

pru15
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menyiasat kejadian merosakkan bendera dan poster membabitkan Barisan Nasional (BN) di kawasan Taman Tun Dr. Ismail dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan dibuat selepas satu laporan polis diterima pihaknya oleh Ketua Pemuda parti berkenaan bagi cawangan Lembah Kiara.

Kata beliau, pengadu berusia 33 tahun itu dimaklumkan oleh rakannya melalui WhatsApp bahawa bendera dan poster parti yang diletakkan di lokasi berkenaan telah dirosakkan oleh seseorang.

“Pengadu kemudiannya pergi ke tempat kejadian bagi mengesahkannya dan dapati tali gantung bendera telah dipotong bersama poster parti itu.

“Hasil siasatan awal mendapati, kes pertama berlaku adalah di persimpangan Jalan Athinahpan TTDI dan tempat kejadian kedua berlaku di jambatan di Jalan Burhanuddin Helmi 1 di mana bendera sama yang digantung dengan tali serta poster telah dikhianati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata, semakan lanjut mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman yang berdekatan memfokuskan ke arah tempat kejadian.

“Selain itu tiada CCTV daripada Integrated Transport Information System (ITIS) di lokasi berkenaan.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah khianat yang memperuntuk hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amihizam mengingatkan kepada semua yang terlibat semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan mana-mana individu supaya tidak membuat apa-apa provokasi yang boleh mengganggu proses demokrasi negara ini.

Beliau juga mengingatkan kepada ahli-ahli parti politik supaya mengawal penyokong agar tidak melakukan apa-apa perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya