Polis NS siasat lima kes khianat, rosakkan poster, bendera parti

Polis NS siasat lima kes khianat, rosakkan poster, bendera parti

AHMAD DZAFFIR MOHD. YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis Kontinjen Negeri Sembilan menerima 12 laporan polis berkaitan kes-kes pilihan raya di seluruh negeri ini sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula 5 November lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, sebanyak lima kes telah dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, ia melibatkan perbuatan khianat dengan mengoyak dan merosakkan poster calon, sepanduk, bendera serta mengalihkan bendera-bendera parti yang bertanding.

“Lima kes ini masing-masing berlaku di daerah Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan pihak polis  masih lagi dalam usaha untuk mengesan suspek  yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat dinasihatkan tampil membantu siasatan yang dijalankan.

Sementara itu, kata Ahmad Dzaffir, sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 353 aktiviti ceramah telah dijalankan.

“Polis Kontinjen Negeri Sembilan mengingatkan semua parti yang bertanding agar memberi kerjasama dengan membuat permohonan permit seawal mungkin bagi sebarang aktiviti berkempen yang akan diadakan.

“Ia bagi memberi ruang kepada polis memastikan tiada sebarang pertembungan aktiviti berkempen serta memastikan kawasan kempen tidak mengganggu ketenteraman dan kesesakkan di tempat awam,” katanya.

Jelas beliau, kegagalan mana-mana penganjur memohon permit adalah kesalahan di bawah Seksyen  24B Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya