JOHOR BAHRU: Polis Johor mengenal pasti sebanyak 12 daripada 26 kerusi Parlimen yang boleh dianggap ‘lokasi panas’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara 12 lokasi panas itu termasuk Parlimen Muar dan Segamat.
Justeru, pihaknya akan menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti.
“Untuk PRU15 ini, Polis Johor menempatkan seramai 3,800 pegawai dan anggota di seluruh negeri melibatkan kesemua 26 Parlimen untuk jaga keamanan sepanjang tempoh kempen.
“Berdasarkan pengalaman, lokasi panas yang kita kenal pasti adalah melibatkan 12 Parlimen, antaranya Muar dan Segamat. Parlimen Johor Bahru tidak,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Pusat Penamaan Calon Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, tinjauan pihaknya juga mendapati perjalanan proses penamaan calon ketika ini berjalan lancar dalam suasana mendung.
“Cuaca di Johor hari ini mendung dan ada tempat yang hujan. Jadi, saya nasihatkan kepada semua khususnya calon dan penyokong-penyokong setiap parti politik untuk bersabar dan kekal tenang.
“Sementara itu, permit untuk mengadakan ceramah bermula hari ini juga sudah boleh dipohon dan polis akan bantu setiap parti politik untuk mendapatkan permit yang diperlukan. Apa yang penting adalah setiap parti politik mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk mengadakan kempen,” katanya.
Dalam lawatan berkenaan, Kamarul Zaman turut meluangkan masa untuk bertemu dengan beberapa calon yang bertanding di kerusi Parlimen Pulai, antaranya Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pakatan Harapan) dan Loh Kah Yong (Perikatan Nasional). – UTUSAN