KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) yakin mampu ‘menyapu’ bersih 27 kerusi kritikal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 September ini.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan itu berpandukan kepada kesemua calon yang diletakkan itu mampu meraih kemenangan.
“Kita letak semua calon boleh menang. Jadi kita mahu PN menang,” katanya selepas minta mengulas peluang PN untuk menang di semua kerusi tersebut pada PRU15 selepas menjawab soalan daripada pemberita semasa hadir ke Majlis Tuan Guru Presiden Pas ‘Jupo Oghe Terey’ di Pasar Peringat, di sini hari ini.
Presiden Pas itu mendedahkan pihaknya ada membuat perbincangan dengan UMNO mengenai kerusi krtikal supaya tiada pertindihan.
Katanya, disebabkan sikap UMNO yang berbelah bahagi PN membuat keputusan untuk meletakan semua calon di kawasan tersebut.
Semua 27 kerusi Parlimen itu dikatakan kawasan kritikal kerana apabila jumlah undi UMNO dan Pas digabungkan berdasarkan keputusan PRU14, ia boleh mengatasi undi yang diperoleh PH.
Kawasan itu ialah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Parit Buntar, Tambun, Lumut, Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kapar, Kuala Langat, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Sri Gading, Tanjung Piai, Tangga Batu dan Putatan. – UTUSAN