KANGAR : Datuk Seri Shahidan Kassim yang dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau bakal memberi impak besar kepada gabungan tersebut merampas negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, penglibatan Shahidan sebagai calon juga akan memberi impak baharu dalam arena politik khususnya di negeri ini.
Katanya, buat masa ini, Shahidan hanya akan menandatangani aku janji bersama PN dalam PRU15 dan beliau tidak akan melalui proses baiah seperti calon Pas yang lain.
“Kita akan bagi aku janji dahulu dan selepas itu kalau dia (Shahidan) setuju untuk baiah, kita akan buat. (Tapi) kalau dia tak mahu pun, tak ada masalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon PN Perlis di Kompleks Pas Kangar di sini malam ini.
Selain Shahidan, PN mengumumkan dua lagi calon di kerusi Parlimen iaitu Rushdan Rusmi (Padang Besar) dan Zikri Hassan (Kangar).
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), calon yang ditampilkan adalah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Haziq Asyraf (Beseri), Saad Seman (Chuping), Wan Badariyah Wan Saad (Mata Ayer) dan Mohd Azmir Azizan (Santan).
Turut dicalonkan adalah Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), P. Pramoot (Indera Kayangan), Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), Redzuan Hashim (Guar Sanji), Razali Saad (Simpang Empat) dan Mohd Shukri Ramli (Sanglang).
Selain itu, dua lagi kerusi DUN iaitu Sena dan Kayang masih belum diumumkan disebabkan isu teknikal dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, berdasarkan perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, rakyat sememangnya menunjukkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan perkembangan itu pastinya memberi peluang cerah buat PN untuk menang.
“Majoriti rakyat menolak PH sebelum ini dan kita juga tampilkan ramai calon muda untuk membantu PN dalam PRU15,” katanya. – UTUSAN