PN tawar diskaun 25 peratus PTPTN

PN tawar diskaun 25 peratus PTPTN

MUHYIDDIN Yassin menjawab soalan yang diajukan ketika sesi dialog sempena Majlis Pelancaran Manifesto PN di Shah Alam, Selangor. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) menawarkan diskaun 25 peratus bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan kelas kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini. 

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu merupakan antara usaha PN  dalam memperkasakan belia dan mensejahterakan golongan muda.

Beliau berkata, ini kerana golongan belia adalah aset masa depan negara ini.

“(Selain itu) PN menawarkan inisiatif menyediakan Skim Perumahan Mikro Belia Mampu Sewa di bandar-bandar utama serta menambah baik skim pembiayaan perumahan bagi golongan B40 dan M40 seperti skim rent-to-own dan pembelian tanah.

“(PN juga akan) menetapkan kuota sekurang-kurangnya dua orang Senator dalam Dewan Negara untuk belia dan beliawanis bagi memastikan suara anak muda didengar di Parlimen.

“(Seterusnya), memberi insentif khas bernilai RM1,000 kepada pekerja sektor ekonomi gig yang layak untuk mengikuti kursus terpilih di institusi pengajian tinggi,” katanya pada majlis pelancaran PN di sini, malam ini.

Terdahulu, sebanyak 234 tawaran dikemukakan Perikatan Nasional (PN) yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada pilihan raya umum kali ini.

Antara tunjang yang menjadi tumpuan adalah ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.

Selain itu, mensejahterakan bumiputera, orang asli dan semua kaum, merapatkan jurang pembangunan wilayah, melestarikan alam sekitar serta memperkasakan generasi Felda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN