HULU TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) bersedia menerima pemimpin-pemimpin UMNO yang digugurkan sebagai calon menyertai gagasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesediaan menerima siapa sahaja dalam PN menjadi dasar parti itu sejak dulu namun untuk menjadi calon dengan menyertai PN ada pertimbangan yang perlu diambil kira.
“Dasar parti kita (PN), sesiapa hendak jadi ahli kita tidak pernah halang atau sekat, itu keputusan sejak dulu lagi, terpulang kepada hak masing-masing.
“Soal keahlian tidak jadi masalah, soal hendak jadi calon itu (PRU15) ada soal-soal lain yang perlu pihak parti memberi pertimbangan kerana kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan PN sudah dimuktamadkan.
“Saya tidak boleh anjur atau unjurkan apa-apa perkara berhubung kerusi kerana yang ada kita telah putuskan, sudah hampir tempoh penamaan calon. Semalam di seluruh negara pun saya dah umumkan iaitu kedudukan sedia ada sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Minum Petang Bersama Jentera PN di Warisan Pahlawan Resort, Kampung Pauh, Kuala Berang, dekat sini, petang tadi.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau mengakui terkejut dengan pengguguran ramai pemimpin berpengalaman BN sebagai calon PRU15 seperti Tan Sri Anuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Noh Omar.
“Bukan sahaja orang UMNO gempar malah orang lain juga tetapi saya tidak mahu komen banyak,” katanya. – UTUSAN