SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor menggelar Perikatan Nasional (PN) sebagai reformis jadian.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan parti tersebut mendakwa mereka mahu melakukan reformasi ke atas pentadbiran negara, namun mereka sendiri ‘mengkhianati’ apa yang hendak dilakukan.
“Mereka ini adalah reformis jadian, bukan seperti kita (PH). Apapun, kita perlu terus istiqamah untuk pastikan kita dapat menawan Putrajaya,” katanya ketika berucap pada majlis pengenalan calon Parlimen Harapan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, di sini, malam ini.
Sementara itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, kerajaan Selangor yang diketuai ketika ini telah memperkenal pelbagai bantuan yang dapat dimanfaatkan kepada rakyat.
Menurutnya, pengenalan beberapa skim perumahan rumah mampu milik, skim insurans kesihatan Selangor dan lain-lain lagi membuktikan bahawa PH mampu memperkenal bantuan di peringkat pusat.
“Saya harap rakyat boleh beri manfaat kepada kami semua dalam PRU15. Saya yakin kita boleh buat polisi yang lebih baik sekiranya kita diberi peluang untuk memerintah selama satu penggal,” jelasnya. – UTUSAN