IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak akan mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri.
Setiausaha PN Perak, Razman Zakaria berkata, ini selepas PN tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
Katanya, PN menang 26 kerusi DUN dan memerlukan sekurang-kurangnya empat lagi kerusi untuk majoriti mudah 30 kerusi.
Katanya, PN hanya akan bekerjasama dengan BN dan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PN).
“Kita sedang berbincang dengan rakan di sebelah sana.
“Kita jelas tidak bekerjasama dengan Anwar (Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP.
“Yang ada ruang untuk kerjasama adalah rakan dari BN, perbincangan akan diadakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
PN menang 26 kerusi DUN iaitu Pengkalan Hulu, Selama, Kubu Gajah, Batu Kurau, Titi Serong, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Gunung Semanggol, Selinsing, Kuala Sepetang, Changkat Jering, Trong, Kamunting, Chenderoh, Lubok Merbau, Manjoi, Bukit Chandan, Manong, Sungai Manik, Kampung Gajah, Pasir Panjang, Pangkor, Changkat Jong, Slim dan Bota.
Setakat ini BN menang DUN Kota Tampan, Ayer Kuning, Belanja, Lintang, Chenderiang Temenggor, dan Behrang. – UTUSAN