PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terharu dengan semangat persahabatan luar biasa ditunjukkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, susulan pertemuan kedua-dua pemimpin, hari ini.
Menurut Anwar, ini kerana kunjungan Sultan Brunei hari ini semata-mata untuk memberikan sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri baharu.
“Kunjungan Tuanku Sultan Brunei sangat mengesan bagi saya. Baginda datang dengan semangat persahabatan dan untuk memberikan support kepada pemilihan Perdana Menteri yang baharu, hanya untuk itu sahaja.
“Baginda datang terus bawa saya ke Seri Perdana, makan tengah hari (dan) terus balik.
“Semangat ditunjukkan Sultan Brunei saya sangat terharu, ini menunjukkan semangat persahabatan luar biasa,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan, mesyuarat yang berlangsung kira-kira satu jam setengah itu membincangkan pelbagai perkara berhubung perkembangan semasa termasuk kunjungan Sultan Brunei.
“Agenda mesyuarat pertama mesyuarat biasa PH. Kedua, beri sokongan langkah-langkah diambil termasuk soal kos sara hidup (yang) menjadi keutamaan.
“Ketiga minta saya beri penjelasan tentang perkembangan semasa terbaharu termasuk kunjungan Sultan Brunei.
“Kemudian saya laporkan tentang perjalan kerajaan setakat ini kepada mereka untuk makluman dan mendengar cadangan yang harus dijadikan pertimbang oleh saya,” katanya. – UTUSAN