GOMBAK: Ketua Cabang PKR Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, PKR adalah parti paling demokratik bukan diktator seperti yang didakwa Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Jelas Amirudin, tiada mana-mana parti termasuk UMNO membenarkan ahli mengundi dan memilih jawatan tertinggi sekali gus membuktikan PKR mengamalkan sistem demokratik dalam kepimpinan.
“Dengan sistem yang ada, kita membenarkan semua ahli untuk mengundi dan memilih jawatan Presiden, Naib Presiden PKR. Ini bukan kepimpinan diktator. Dakwaan itu mungkin daripada orang yang tidak memahami sistem secara keseluruhan.
“Saya percaya, sistem pemilihan parti tersusun kemas. Kita memilih kepimpinan tertinggi berdasarkan undian seluruh ahli. Saya rasa, tidak ada lagi mana-mana parti di negara ini yang membenarkan sistem sedemikian.
“UMNO tak benarkan. Bersatu pula ahli dia tak berapa macam orang. Jadi saya tak tahu apa dia (Azmin) cakap,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohamed Azmin yang juga Bekas Timbalan Presiden PKR sebelum ini menyifatkan parti itu diterajui seorang diktator apabila ahli kepimpinan parti itu tidak boleh menyuarakan pendapat atau mengkritik parti. – UTUSAN