IPOH: Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang berkata, Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan negeri Perak bersama Barisan Nasional (BN).
Perkara itu dimaklumkan dalam satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.
“Makluman: PH akan membentuk kerajaan negeri Perak bersama dengan BN!” Katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Terdahulu, DAP Perak mendakwa memiliki jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.
Menerusi satu kenyataan, pembentukan kerajaan negeri yang baharu itu melibatkan kerjasama antara PH dan BN.
Bagaimanapun katanya, maklumat terperinci berkaitan kerjasama itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“BN dan PH secara bersama memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Demi kepentingan rakyat dan negara, BN dan PH Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri,” jelas kenyataan itu.
Setakat ini, tiada sebarang pengesahan daripada pimpinan BN dan PH Perak berkaitan perkara itu.
Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi DUN, PH 24 kerusi manakala BN sembilan kerusi menyebabkan tiada parti yang mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri. – UTUSAN