REMBAU: Para pengundi disaran untuk membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan memilih parti yang mempunyai track record (rekod prestasi) yang baik.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua parti telah diberi peluang menubuhkan kerajaan dan tentunya rakyat dapat membezakan dalam tempoh empat tahun ini siapa yang sepatutnya diberikan mandat untuk mentadbir negara selepas 19 November ini.
“Sebab itu pada PRU15 saya harap, saya berdoa supaya rakyat jangan ikut perasaan, jangan ikut emosi, jangan ikut orang, yang penting pilihlah parti yang mempunyai ‘track record’ yang baik.
“Saya berharap pengundi-pengundi bukan sahaja di Rembau tetapi di seluruh negara untuk memberikan kepercayaan kepada kami BN, jangan risau tentang siapa yang mengurus, kami merupakan satu pasukan.
“Pasukan ini yang akan bersama-sama kewibawaan dan juga bakat-bakat yang ada dalam BN yang berpengalaman mengurus Malaysia menjadi sebuah negara disegani oleh kawan dan lawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di luar Pusat Penamaan Calon, Dewan Sri Rembau, di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai empat lagi calon yang turut bertanding di Parlimen Rembau, beliau menyatakan kesemua calon dan parti mempunyai kekuatan masing-masing.
“Saya akan minta jentera parti BN jangan leka, terus gerak kerja kita dengan sebaik mungkin, santuni seramai mungkin, sebanyak mungkin pengundi-pengundi di setiap pelosok Parlimen Rembau,” katanya yang turut memuji proses penamaan calon hari ini berjalan dengan lancar.
Menurutnya, beliau juga berharap agar jentera BN akan menjalankan gerak kerja kempen tersusun dan teratur.
“Kami tidak mahu mengusik sesiapa yang pentingya ialah tujuan kita mengadakan pilihan raya ini adalah untuk memilih parti yang diberi mandat nanti oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan.
“Kerajaan yang bakal ditubuhkan ini mestilah satu kerajaan yang mantap dan stabil kerana negara kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil seperti yang kita pernah dapati dulu, tetapi selepas PRU14, ketidakstabilan kerajaan itu nyata dan mereka gagal mengurus negara dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, negara apabila diurus oleh satu kerajaan yang tidak stabil, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan. – UTUSAN