PUTRAJAYA: Pilih pemimpin yang berintegriti kerana ia asas kepada sebuah pembangunan negara bangsa dan tamadun yang hebat.
Itu ingatan diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada lebih 900 anggota dan pegawai imigresen yang hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini hari ini.
Hamzah yang juga calon Parlimen Larut berkata, ingatan itu diberikan beliau memandangkan negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pegawai imigresen supaya membuat pilihan yang bijak.
“Pemimpin yang berintergirti akan memastikan khazanah dan ekonomi negara ditadbir urus dengan penuh amanah. Namun, perlu diingatkan bahawa integriti adalah prasyarat kepada sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.
Katanya, apa yang disampaikan beliau ini adalah sesuatu untuk difikirkan bersama demi agama, bangsa dan negara. – UTUSAN