KUALA LUMPUR: Para pengundi yang akan turun mengundi pada Pilhan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini diminta menilai setiap calon yang mahu dipilih dengan teliti supaya tidak memilih pemimpin yang salah.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap calon perlu dinilai secara terperinci sebelum mereka memangkah kertas undi.
Katanya, prestasi dan rekod sebelum ini setiap calon mesti dilihat dan dikaji supaya mereka yang dipilih benar-benar dapat berkhidmat kepada rakyat.
“Lihat latar belakang, rekod prestasi dan di mana mereka sebelum ini. Kena lihat apa mereka buat di luar sana dan kenapa tiba-tiba pusing ke tempat lain?
“Sebab apa nak kena tanya semua ini? Sebab kita tidak mahu wakil rakyat yang cakap pusing-pasing, yang cakap tidak serupa bikin,” katanya ketika berucap pada Sesi Sembang Santai Bersama Anak Muda di Keramat, malam semalam.
Beliau mengambil contoh isu tanah dan penduduk Kampung Baru yang dimanapulasi calon tertentu bagi meraih sokongan.
Sedangkan katanya, keputusan itu dibuat ketika mereka menjadi wakil rakyat dan kerajaan.
Oleh itu Johari berkata, pengundi perlu menggunakan hak mereka sewajarnya untuk memilih pemimpin yang benar-benar dapat memberikan khidmat di kawasan yang mereka tandingi.
“Apabila kita jadi pengundi, hak kita untuk mengundi pada 19 November ini tidak ada siapa boleh paksa untuk pilih siapa.
“Saya tidak boleh paksa. Tidak ada siapa boleh paksa. Hak tuan-tuan yang menentukan siapa wakil untuk wakili tuan-tuan bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Cuma beliau mengingatkan para pengundi terutama di Parlimen Titiwangsa supaya tidak termakan dengan janji dan pujuk rayu mana-mana calon, sebaliknya mengundi berdasarkan kebijaksanaan masing-masing.
“Baru-baru ini ada seorang calon datang berceramah beritahu Datuk Joe itu bagus, walaupun kalah dia tetap buat kerja. Jadi elok dia teruskan tetapi PRU15 ini pilih saya sebab saya akan wakili tuan-tuan di Parlimen.
“Kita nak jadi pemimpin bukan sehaja boleh melalak melolong di Parlimen, tetapi perlu bertanggungjawab jaga rakyat dalam kawasan Parlimen kita.
“Kalau kita tak boleh jaga rakyat, apa guna datang ke kawasan Parlimen ini, tetapi tak jaga kawasan sendiri, sebaliknya jaga kawasan orang lain.
“Sebab itu orang tua-tua cakap apabila mendengar guruh di langit air tempayan jangan dibuang. Apabila tengok manifesto cantik-cantik wakil rakyat waktu itu dibuang, ini tidak boleh,” katanya. – UTUSAN