PUCHONG: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berharap pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat memilih calon mereka berdasarkan kriteria dan bukannya kaum calon tersebut.
Bee Yin berkata, sebagai penyandang kerusi Parlimen Bakri, beliau adalah wakil rakyat buat semua rakyat Malaysia dan bukannya mewakili kaum Cina sahaja.
“Saya bukan wakil rakyat Cina sahaja atau wakil rakyat Melayu atau India, tapi saya adalah wakil rakyat kepada semua di negara ini. Kita hendak tunjuk kepada rakyat Malaysia di mana sentimen perkauman ini tidak patut dimainkan.
“Kita perlu pastikan bahawa politik kita adalah berdasarkan polisi, apakah polisi yang lebik baik dan boleh membawa kebaikan pada masa akan datang kepada seluruh rakyat,” katanya ketika berucap pada sesi ceramah PH di Dataran Puchong Permai di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Bee Yin turut menegaskan bahawa rakyat di negara ini layak untuk mendapat seorang pemimpin yang lebih baik, tidak rasuah, berintegriti serta berjiwa rakyat.
Jelasnya, semangat untuk memerangi rasuah juga perlu wujud dalam diri setiap pemimpin dalam meningkatkan tahap kompetensi masing-masing.
“Jangan kita ‘settle’ dengan pemimpin yang bagi kita sikit tapi dia curi banyak, kita mampu dapat pemimpin yang lebih baik,” ujarnya.
Tambah Bee Yin, walaupun dirinya kini sedang sarat mengandung dan mempunyai dua anak kecil, ia sama sekali tidak mengganggu kelancaran perjalanan kempennya.
“Ramai kata tak payah bertanding, buat apa susah-susah kempen sehingga pergi ke Sabah dan Sarawak serta banyak lokasi, tapi jawapan saya senang sahaja kerana saya cintakan negara ini,” ujarnya.
Parlimen Puchong bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Bee Yin, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (Barisan Nasional), Chew Jyh Gang (Perikatan Nasional) dan Kuan Chee Heng (Bebas).
Pada PRU14, kerusi Parlimen Puchong dimenangi Gobind Singh Deo dari DAP dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (PAS) dengan 10,255 undi. – UTUSAN