KLANG : Tindakan Datuk Ezam Mohd. Nor tidak bertanding di Parlimen Langkawi adalah disebabkan Pakatan Harapan (PH) tidak bersungguh menegakkan perjuangan reformasi.
Bekas Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau sebelum ini telah menyatakan secara terbuka dan telah berjumpa pimpinan PH Kedah dan Pusat supaya memberikan laluan dirinya untuk bertanding di Parlimen Langkawi.
Menurutnya, ini sama ada bertanding atas tiket PH atau Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak) atau calon Bebas sekalipun.
“Keputusan Gerak untuk hantar saya bertanding di langkawi kerana (Tun Dr.) Mahathir musuh reformasi nombor satu. Jadi perlu ada tentangan serius dan kuat, bukan calon biasa-biasa.
“Saya juga telah nyatakan hasrat secara terbuka kepada PH dan akhirnya mereka meletakkan calon PH dari Parti Amanah Negara (Amanah).
“Atas keputusan itu, kita tarik diri supaya tidak bertembung (dengan calon PH) dan menguntungkan Mahathir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Pelancaran Gerak Rakyat hari ini.
Terdahulu berlegar spekulasi di media sosial dan perdana, Ezam disenaraikan sebagai antara calon terbaik untuk menandingi penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Mahathir Mohamad.
Justeru, Ezam memaklumkan sekiranya beliau terus bertanding ia akan menyebabkan pepecahan undi dan tiada berlakunya tentangan maksimum terhadap Mahathir.
“Kita (Gerak) menyatakan rasa kesal kerana sepatutnya PH letak calon utama melawan Mahathir. Ini disebabkan selama dua tahun Mahathir menyerang PH dan runtuhkan kerajaan reformasi.
“Mereka (PH) kata reformasi tetapi tiada kesungguhan dan episod di Langkawi membuktikan tiada kesungguhan PH benar- benar tegakkan reformasi,” ujarnya.
Rentetan dari itu, kata Ezam lagi, beliau membuat keputusan bergabung dengan PRM dan bertanding di negeri ini. –UTUSAN
Habis