MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka mendakwa, pihaknya mengesan seorang pengundi pos yang hadir membuang undi sebagai pengundi awal bagi kerusi Parlimen Alor Gajah, semalam.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, kejadian itu disedari ejen tempat mengundi semasa bertugas di pusat pembuangan undi (PPU) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal dekat sini.
Menurutnya, ejen tersebut telah bertindak memaklumkan perkara itu kepada ketua tempat mengundi (KTM), namun terkejut apabila diberitahu PPU berkenaan tidak mempunyai senarai pengundi pos.
“Atas desakan ejen tempat mengundi kami, KTM telah menghubungi Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Selepas diberikan senarai, KTM mengakui bahawa pengundi tersebut adalah pengundi pos.
“Apa yang lebih dikesalkan adalah pengundi tersebut telah membuang undi ke dalam peti undi. KTM berjanji bahawa kertas undi tersebut akan dikenal pasti berdasarkan nombor siri dan akan dibuang daripada kotak undi pada sesi pengiraan kelak.
“Saya juga difahamkan pengundi tersebut telah mengundi secara pos, namun tetap hadir pula untuk mengundi awal. Saya percaya ini adalah kesalahan yang jelas di bawah KTM dan pengundi tersebut di bawah Seksyen 3 (1) (l) dan 3 (1) (o) dan juga Seksyen 4 (g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam sidang akhbar khas di Graha Amanah, Bukit Katil di sini hari ini.
Tambah Adly lagi, ejen tempat mengundi telah membuat laporan polis selepas proses pengundian awal selesai, perkara itu dipandang serius pihak berkuasa serta telah memanggil individu terlibat.
Tegasnya, kecuaian seperti itu tidak seharusnya berlaku dan mempersoal mengapa nama pengundi pos tidak dikeluarkan terus daripada senarai pengundi awal diberikan SPR.
“Sekiranya tidak ada penjelasan dan langkah penambahbaikan oleh SPR, kes seperti ini boleh terjadi lagi di tempat-tempat lain dan mungkin boleh berlaku pada hari pengundian 19 November ini,” jelasnya. – UTUSAN