PH kini menghampiri kemenangan 100 kerusi - Rafizi

PH kini menghampiri kemenangan 100 kerusi – Rafizi

RAFIZI Ramli ketika berucap pada ceramah PH di pekan Balik Pulau, Pulau Pinang malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini menghampiri untuk memenangi 100 kerusi Parlimen ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbaki empat hari.

Malah kata beliau, PH turut berkeyakinan mencatat kemenangan besar di keempat-empat buah negeri kubu kuat mereka iaitu di Pulau Pinang; Selangor; Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Dalam masa sama ujar beliau, negeri tumpuan baharu PH di Perak pula menunjukkan peningkatan sokongan mendadak khususnya dari pengundi Melayu.

“Tinggal empat hari sahaja lagi tempoh berkempen, saya ada keyakinan bahawa kita akan rampas Perak.

“Maka kita tinggal Melaka dan Johor sahaja yang akan sumbang kerusi untuk kita ke Putrajaya. Setakat ini insya-Allah, kita akan pertahan sebahagian besar kerusi PH di Johor dan Melaka.

“Jika keadaan baik ini berterusan dan kalau tidak berlaku banjir dan ribut, dan kalau UMNO masih bergaduh sesama mereka seperti sekarang, insya-Allah kita akan lepas 100 kerusi dan berada dalam keadaan paling baik untuk bentuk kerajaan dalam masa kurang seminggu daripada sekarang,” katanya ketika berucap dalam ceramah PH di pekan Balik Pulau, di sini malam ini.

Dalam masa sama, Rafizi turut meramalkan kesemua kerusi-kerusi yang ditandingi calon-calon ‘katak’ seperti Datuk Seri Mohamad Azmin Ali di Parlimen Gombak; Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal) dan Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) akan tewas pada PRU15.

Tambah Rafizi, beliau menyedari ada sesetengah pihak tidak dapat menerima ramalan beliau berhubung kemenangan PH itu dan beranggapan beliau hanya ‘sembang kosong’.

Namun, Rafizi menarik perhatian bagaimana beliau turut meramalkan kemenangan PH pada PRU14 disebabkan persaingan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas yang turut dinafikan banyak pihak ketika itu, namun benar-benar berlaku.

Jelasnya, keyakinan rakyat terhadap PH kini kerana mereka melihat pemimpin PH menerima isyarat yang jelas untuk kembali ke landasan membela rakyat selepas ditolak ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

“Beza kita dengan UMNO selepas kalah, kita tak buat bodoh dan tak pertahankan atau menegakkan benang yang basah.

“Rakyat mahu kita kembali dengan cadangan untuk selesaikan dan bela nasib mereka, tolak tepi soal siapa mahu jadi Perdana Menteri, tidak bincang dengan kumpulan yang telah khianat kita.

“Memang pedih (isyarat dari rakyat). Tetapi dalam tempoh enam bulan kita perbetulkan semula hala tuju kita dan rakyat telah kembali bersama-sama PH dan insya-Allah kita akan ke Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melihat pergolakan di dalam UMNO khususnya antara Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Khairy Jamaluddin menyebabkan BN ketika ini tidak akan menang melebihi 50 kerusi – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya