PADANG TERAP: Dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Pakatan Harapan (PH) kian menghampiri 100 kerusi untuk dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanyalah satu bentuk perang psikologi bagi mempengaruhi pengundi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan sedemikian bukanlah sesuatu yang asing untuk dilakukan parti lawan terbabit terutamanya menjelang hari pengundian.
Menurutnya, seperti parti-parti politik lain juga, Rafizi serta PKR sudah tentu memiliki kiraan sendiri bagi menghadapi PRU.
“Semua parti ada perkiraan sendiri tetapi mana yang tak menang itu, katakan sajalah tak menang. Bagi saya tindakan dilakukan Rafizi itu merupakan satu peperangan psikologi semata-mata.
“Di pihak BN pun, kami ada perkiraan sendiri. Insya-Allah BN boleh menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan walkabout di Kolej Mara Kuala Nerang di sini hari ini.
Rafizi dalam ceramah di Balik Pulau, Pulau Pinang kelmarin mendakwa, gabungan tersebut kian menghampiri untuk memenangi 100 kerusi Parlimen ketika kempen PRU15 hampir ke penghujung.
Malah menurut Rafizi, PH turut berkeyakinan mencatat kemenangan besar di keempat-empat negeri kubu kuat mereka iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Sementara itu Mahdzir berkata, gelaran Yang Berhormat yang sering digunakan bagi merujuk kepada wakil rakyat di negara ini, wajar ditukarkan kepada Yang Berkhidmat bagi menyesuaikan dengan situasi semasa.
Katanya, panggilan Yang Berkhidmat tampak lebih tepat bagi menggambarkan peranan sepatutnya dimainkan wakil-wakil rakyat.
“Jika perkara itu dilaksanakan, orang ramai juga boleh menjustifikasikan seseorang wakil rakyat tersebut dengan panggilan Yang Berkhidmat yang disandang individu berkenaan.
“Yang berkhidmat ini perlu sedar bahawa mereka memiliki dua tugas untuk dilaksanakan iaitu membuat dasar di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memberi khidmat kepada rakyat. Jadi dalam tempoh lima tahun itu, rakyat bolehlah menilai sama ada Yang Berkhidmat itu benar-benar berkhidmat di kawasan mereka,” katanya. – UTUSAN