Pertembungan empat penjuru di Larut - Utusan Malaysia

Pertembungan empat penjuru di Larut

HAMZAH Zainuddin (kanan) bersalaman dengan Mohd. Syafiq Fhadly Mahmud selepas proses penamaan calon PRU15 Parlimen Larut di Pejabat Daerah dan Tapah Selama hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Kerusi Parlimen Larut yang disandang Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin sejak 2008 menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hamzah yang mewakili Perikatan Nasional (PN) akan dicabar calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Syafiq Fhadly Mahmud; Zolkarnain Abidin (Pakatan Harapan) dan Auzaie Fadzlan Shahidi daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Pengumuman rasmi senarai calon yang layak bertanding itu dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mustoffa Aliman pada pukul 12.10 tengah hari di Pejabat Daerah dan Tanah Selama, Selama di sini hari ini.

Pada PRU14, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri menang di Parlimen Larut atas tiket BN dengan menewaskan calon PKR, Khairil Anuar Akhiruddin dan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti 4,486 undi.

Hamzah memperoleh 18,184 undi manakala Khairil Anuar (7,738) dan Abu Husin (13,698). Hamzah kemudian keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 2019.

Sementara itu, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Larut turut menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Kerusi DUN Selama menyaksikan penyandangnya, Mohd. Akmal Kamarudin (PN) dicabar calon daripada BN, Faizul Rizal Zulkifli; Razali Ismail daripada PH dan calon Bebas, Osman Sidek.

Bagi kerusi DUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya berdepan calon daripada BN, Osman Ahmad; Rusli Bakar (PH) dan Fuaddin Kamaruddin (GTA).

Untuk kerusi Batu Kurau, calon muka baharu daripada BN, Saliza Ahmad akan dicabar oleh calon PN, Datuk Mohd. Najmuddin Elias; Muhamad Aiman Aizuddin Md Husin (PH) dan Zulkifli Yahya (GTA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN